Kamis, 22 Juli 2010

Bahasa Jiwa

Biasa disebut “bahasa jiwa bangsa” yang tidak jelas menunjukkan kaitannya
bahasa dengan ilmu; walaupun penentuan bangsa terutamanya jika bangsa itu
bermaksud negara, iaitu negara-bangsa atau janapada (nasion/nation), maka adalah hubungan bangsa dengan ilmu dan lebih am lagi tamadun. Ahli bahasa
memang membezakan bahasa nasional dengan bahasa janapada nasion. Bahasa
nasion ialah bahasa lingua franca, bahasa identiti bangsa, bahasa perpaduan,
bahasa rasmi, bahasa politik, dan sebagainya bagi sesebuah negara; sedangkan
bahasa nasional (yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu Malaysia sebagai
bahasa kebangsaan) ialah bahasa yang digunakan pemerintah dan kebanyakan
rakyat sesebuah negara untuk semua situasi penting, terutamanya sebagai bahasa
pembangunan, bahasa pendidikan, bahasa ilmu negara tersebut. Teori “bahasa
kebangsaan” (bahasa nasional) dan “bahasa janapada” (bahasa nasion) ini
terkenal diutarakan Fishman (1973). Contoh negara yang mengamalkan
perbezaan bahasa ini cukup banyak berlaku di Negara Membangun atau Negara
Ketiga, dan kini termasuk Malaysia. Kajian atau pandangan tentang hubungan
bahasa dengan ilmu yang terawalnya diminati ahli falsafah Eropah abad ke-17
ketika mereka mulai mahu meninggalkan bahasa Latin sebagai bahasa ilmu.
Antara yang terkenal adalah ahli matematik-falsafah Jerman, Leibniz, yang
berhujah tentang pentingnya Jerman menjadikan bahasanya sendiri sebagai
bahasa ilmu dan pandangan ini diartikulasikan dengan lebih baik lagi pada abad
ke-19 oleh ahli falsafah bahasa bangsa Jerman, Herder dan Humboldt, dengan
menegaskan bahawa pengucapan sesuatu bangsa dalam bahasanya sendiri itu
adalah setara dengan rohani bangsa itu (Hashim 1994); dan oleh itu perbezaan
bahasa membawa kepada perbezaan intuisi, fahaman dan tafsiran tentang perkara
yang diminatinya. Heidegger, ahli falsafah besar Jerman pada pertengahan abad
ke-20 itu terkenal dengan falsafah Sein und Zeit ini berhujah bahawa bahasa
itulah pembentuk dan tuan manusia, dan bukannya “alat” pemikiran (Gregory
2004). Beberapa orang ahli statistik sosial sejak 1960-an lagi menunjukkan
korelasi positif antara perkembangan sains negara-bangsa dengan penggunaan
bahasa sendiri negara berkenaan seperti kajian Ferguson (1962), Halliday (1979)
dan Davies (1991). Ahli sosiologi ilmu pengetahuan abad ke-20 juga banyak
menyumbang kepada kajian tentang hubungan bahasa dengan ilmu dan yang
tidak lekang dirujuki orang adalah Ravetz (1971) yang menegaskan peranan
positif bahasa terhadap pembanguanan ilmu pengetahuan. Ahli daya pengaryaan
juga membicarakan hubungan bahasa dengan penciptaan ilmu. Ahli yang
terkenal di bidang ini de Bono (1991) tidak terkecuali membicarakan hal ini
sehingga mencetuskan kontroversi kerana katanya bahasa Inggeris bukannya
bahasa yang berdaya karya yang hebat. Teori daya pengaryaan yang dikaitkan
dengan situasi sistem dinamik dalam minda seseorang apabila dia menggunakan
bahasanya sendiri sebagai tambahan kepada bahasa ilmu yang sedia ada dalam
mindanya itu juga telah dibicarakan Shaharir (2005a) dalam konteks Teori
Dwicabangan dan Teori Malapetaka (2005a). Perbincangan tentang hubungan
bahasa dengan ilmu secara amnya daripada segi pengiktirafan dunia dan
penamaan pemilik ilmu atas nama negara-bangsa juga telah dilakukan Shaharir
(2005b) dan diperincikannya lagi kemudiannya (Shaharir 2008). Berdasarkan
kajian tersebut, layak dipopularkan diktum baru “bahasa jiwa ilmu” dan di sini
Bahasa Jiwa Ilmu: Kes Teori Kenisbian dalam Fizik Teori
juga kami membuktikan benarnya diktum ini dalam bidang sains yang amat
berpengaruh dan berprestij, iaitu “Teori Kenisbian Einstein,” “Teori Relativiti
Einstein” atau “Teori Relativitas Einstein.”

INTIPATI TEORI KENISBIAN EINSTEIN YANG SARAT NILAI
Teori Kenisbian Einstein (TKnE), atau yang asalnya diistilahkan Einstein (1919)
sebagai Relativitatstheorie itu diasaskan pada penghayatan konsep dan falsafah
baru terhadap tabii masa dan ruang. Sebelum Einstein, masa dan ruang dianggap
dua kuantiti yang terpisah dan kedua-duanya juga dianggap sebagai perkara
yang manusia mengetahuinya secara a priori (asalnya Jerman: Merkmal(s))
dan bukannya yang diperoleh secara pengalaman atau emipiris (Jerman:
empiriche) atau a posteriori (Jerman: Hinterteil). Ruang (space atau asalnya
Jerman: Raum bukannya Abstand, Leartaste, Leerzeichn, Lucke, Platz) adalah
a priori 3-matra yang sifat-sifatnya termanifestasi pada bangunan sehebat ahram/
piramid itu, bahkan rumah limas di Alam Melayu. Ribuan tahun selepas
pembinaan piramid (iaitu abad ke-4M) barulah sifat-sifat asasi ruang (biasa
disebut geometri) itu diformalkan ‘Uqlides/Euklid, seorang sarjana di
Iskandariah/Alexandria (biasa disebut sebagai sarjana Yunani/Grik Purba sahaja
kerana bahasa karya ini adalah dalam bahasa Yunani, bukan bahasa Mesir),
dalam bentuk 5 aksiom (asalnya dinamai postulat) yang dianggap swa-dalil
dan betul a priori semuanya. Contoh aksiom atau postulat itu adalah “setiap
dua titik dapat disambung menjadi satu garis”, dan “setiap garis hanya selari
dengan satu garis yang lain sahaja” yang tiada siapa mempersoalkannya, kecuali
zaman Tamadun Islam yang terhenti dengan runtuhnya tamadun itu pada abad
ke-14M. Tradisi mengkritik ruang/geometri 3-matra a priori ini dihidupkan
kembali sarjana Eropah abad ke-17 dan membuahkan ruang/geometri bukan
‘Uqlides/Euklid pada abad ke-19, terutamanya ruang/geometri Riemann yang
menjadi inspirasi dan sandaran Einstein. Konsep masa pun demikian juga.
“Masa” pada zaman pra-Einstein dianggap hanya kuantiti yang wujud bebas
daripada adanya perubahan atau tidak dan bebas daripada ruang. Tegasnya masa
itu adalah mutlak. Fahaman masa yang beginilah yang diutarakan Zeno dan
Parmenides (sarjana Yunani abad ke-5SM) dan dihayati dalam fizik klasik,
khususnya oleh Newton. Khususnya, konsep kenisbian dalam fizik Newton
tiada hubungan dengan masa: tempoh masa tidak berubah dan keserentakan
atau tidak, kekal sepanjang masa. Kant (meninggal 1804) adalah ahli falsafah
Jerman yang bertanggungjawab mengukuhkan konsep masa dan ruang klasik
ini menerusi karya agungnya Kritik der Reinen Vernunft yang telah diterjemah
ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Critique of Pure Reason yang sorotan
terbarunya dapat ditelaah dalam Gardner (1999). Antara istilah dalam bahasa
Jerman berhubung dengan konsep masa (zeit dalam bahasa Jerman dan time
dalm bahasa Inggeris) diterjemah kepada Inggeris yang mungkin hilang hakikat
asalnya adalah Bewu²tsein yang diterjemah sebagai conciousness (menjadi
kesedaran atau keinsafan dalam bahasa Melayu), wahrnehmung pula diterjemah
sebagai perceptions (menjadi persepsi dalam bahasa Melayu), erscheinungen
diterjemah sebagai appearances (menjadi wajah atau kemunculan dalam bahasa
Melayu) dan anschauung sebagai intuition (menjadi intuisi atau gerak hati dalam
bahasa Melayu). Maklumat tentang Kant ini diperoleh daripada internet K, Hsieh
(2004) dan Faye (t.t).
Konsep dan falsafah Kant itu tidak disenangi seorang sarjana (ahli falsafah)
Jerman yang tidak kurang masyurnya, Hegel (meninggal pada 1831) dan beliau
sering dikaitkan dengan pengasas falsafah kebendaanisme dan dialektisme yang
menjadi asas Marxisme dan komunisme. Padanya konsep dan falsafah Kant itu
tidak menghayati falsafah masa oleh sebarisan sarjana besar Yunani bermula
dengan Hiraklitus disusuli Plato dan Aristoteles tentang nyatanya masa yang
tertakrif menerusi perubahan: adanya perubahan itulah masa dan sebaliknya.
Hagel mengembangkan falsafah masa ini dengan menegaskan mustahaknya
perubahan, sejarah dan fluks, apabila membicarakan masa. Hegel mengaitkan
masa dengan Geist (bahasa Jerman) yang diterjemahkan oleh setengah sarjana
Inggeris sebagai Motion (menjadi Gerakan dalam bahasa Melayu), tetapi yang
lain memadankannya dengan istilah keagamaan Kristian, Anima. Mengikut
kamus Wikipedia di Internet, Anima adalah bahasa Latin yang bermaksud asyik-
maasyuk, rohani dan pati kehidupan; tetapi dalam konteks tradisi Kristian ia
dipadankan dengan perkataan Yunani, psykhe yang diInggeriskan sebagai psyche
dan diMelayukan sebagai psike yang cukup akrab dengan “jiwa.” Hegel harap
dengan istilah Geist itu, semuanya dapat dijelaskan dalam sebutan hubungan
masa dengan apa juga yang berhubung dengan masa, termasuk Anima dan psike.
Mengikut Internet Hegel dikatakannya orang yang meletakkan masa di tempat
yang sama dengan ruang sehingga ruang itulah masa dan masa adalah kebenaran
ruang. Fahaman Hegel juga menjadikan masa bertaraf konsep yang dihubungkan
dengan keinsafan yang belum pernah diutarakan sebelumnya. Hegel mempra-
andaikan “sekarang” sebagai kondisi peletakan diri sendiri satu takat/titik, dan
bukannya “sekarang” sebagai kejadian/makhluk masa (Berman, 1998).
Fahaman Hegel tentang masa tentunya hanya dapat dihayati sepenuhnya
oleh sarjana berbudaya Jerman. Oleh itu, tidak hairan betapa besarnya
kemungkinan Einstein, sebagai sarjana Jerman, terpanggil untuk menghayatinya
dengan tidak memisahkan masa dengan ruang, tetapi mengekalkan perbezaan-
nya, malah mengaitkan masa dengan kelajuan dalam Teori Kenisbiannnya 1905.
Kemudiaan Einstein menjadi begitu tertarik kepada pandangan seorang sarjana
bangsanya, bernama Mach (sarjana Austria; meninggal dunia pada 1916) yang
mengembangkan falsafah Hegel itu dengan mengetengahkan konsep jisim dan
jirim yang dianggapnya menjadi penentu segalanya. Mach banyak menyerang
pandangan Newton dan penegak Newton tentang ruang/geometri sebagai ilmu
a priori itu seperti Kant yang terkenal itu. Falsafah Mach yang cuba diterapkan
ke dalam perluasan Teori Kenisbian Einstein 1905 kepada Teori Kenisbian Am
147
Bahasa Jiwa Ilmu: Kes Teori Kenisbian dalam Fizik Teori
Einstein 1917 sehingga masa bukan sahaja tidak bebas kelajuan, tetapi juga
bergantung pada taburan jisim (Inggeris: mass; Jerman: Masse) atau jirim
(Inggeris: matter; Jerman: Materie) di alam semesta ini. Einstein biasanya tidak
pernah mengaku yang beliau terhutang budi/ilmu atau dipengaruhi sarjana
sebelum atau sezamannya kecuali Mach. Selain itu, dia mengatakan Mach adalah
“penunjuk jalan Teori Kenisbian” dan menamakan satu daripada prinsip dalam
Teori Kenisbiannya itu sempena nama Mach, Prinsip Mach (Machprinzip),
walau pun ada sarjana yang berpandangan Prinsip Mach ciptaan Einstein ini
tidak menepati pandangan Mach yang asal. Oleh sebab pandangan Mach tentang
sains begitu positifis (memenuhi falsafah yang dikenali sebagai positifisme
mantik (logical positivism atau asalnya, Jerman: logish positivismus)dan
kebendaanisme (materialism atau asalnya, Jerman: materialismus), maka
falsafah Mach amat berpengaruh dalam Golongan Vienna yang membina
mazhab positifisme sebagai falsafah sains; dan juga mempengaruhi golongan
komunis Marxis. “Prinsip Mach” Einstein itu ialah “inersia sesuatu jasad
ditentukan semua jasad lain di alam semesta ini.” Sikap Einstein yang tidak
mahu/suka mengaku-hormat sumbangan orang lain, memang semakin terdedah
dengan tuduhan sebagai plagiaris/penciplak, termasuklah terhadap karya
isterinya sendiri (seorang ahli matematik) dan beberapa orang sarjana yang
besar (kebanyakannya bangsanya sendiri, Jerman). Pertamanya, dia tidak pernah
mengaku-hormat kepada Michelson dan Morley 1887 yang membuktikan
kemutlakan kelajuan cahaya menerusi ujikaji mereka yang masyhur; sebaliknya
dia membuat andaian tabii cahaya itu dalam teorinya pada 1905 (dalam ucapan
balasungkawanya kepada Michelson puluhan tahun kemudian sahaja barulah
dia membayangkan pengaruh karya Michelson dalam karyanya). Keduanya,
dia juga melakukan perkara yang sama kepada ahli matematik besar Perancis,
Poincare, yang sebenarnya mengutarakan Teori Kenisbian yang serupa
dengannya setahun lebih awal daripadanya, walaupun dia bertemu beberapa
kali dengan Poincare dan oleh itu dipercayai mengetahui karya Poincare itu
kerana “semua orang” lain di Eropah tahu. Malah Teori Kenibian Khas Einstein
(TKnEK) 1905 itu pernah dikenali sebagai Teori Kenisbian Poincare-Einstein
hingga 1920-an sekurang-kurangnya. Ketiganya, dia melakukan perkara yang
serupa terhadap Hilbert, ahli matematik Jerman sezamannya, yang memang
pernah membicarakan bersama keperluan pembinaan Teori Kenisbian Am itu,
dan Hilbert berjaya melakukannya setahun-dua lebih awal daripadanya yang
dikatakan diketahui Einstein. Kisah negatif Einstein ini dan lain-lain itu dapat
dilihat dalam Bjerkness (2002), Moody (2004), Pavlovic (2000) dan Shaharir
(2004a & 2009).
Dengan andaian masa dan ruang berkait dan kontinum, dan ditambah pula
dengan satu lagi andaian Poincare atau Einstein, iaitu laju cahaya ialah laju
yang terpantas dan mutlak, maka mereka berdua ini secara berasingan berjaya
mengutarakan hukum gerakan baru yang menjuzuki teori baru dalam astronomi
moden walaupun matematik asal Einstein tentang perkara ini masih dipersoalkan
ketepatannya kerana hujah-hujah yang lemahnya seperti yang dipaparkan dalam
buku Shaharir (2004a) itu.
Bagi membenarkan kemutlakan cahaya itu, kononnya Einstein terpaksa
mengandaikan tiadanya unsur medium cahaya yang diwarisi berabad lamanya
yang dikenali sebagai “akasa” dalam bahasa Sanskrit (menjadi “angkasa” dalam
bahasa Melayu sekarang dengan makna yang agak berbeza), al-athir dalam
bahasa Arab yang diLatinkan kepada aether dan diambil oleh Inggeris dalam
bentuk itu (Jerman mengambil Ather), dan seterusnya diMelayukan sebagai
eter (tanpa kesedaran asal-usulnya). Andaian Einstein itu boleh dianggap
ciplakan kerana cerita hubungan beliau dengan Michelson itu. Michelson (dan
Morley) memang dianggap orang pertama yang membuktikan tiadanya eter
dan kemutlakan cahaya, walaupun kini ujikaji ini pun dipersoalkan keesahannya
(Shaharir 2004a). Walau apa pun, TKnEK ini mampu menjelaskan dengan lebih
hebat lagi apa-apa yang dapat dijelaskan dengan teori Newton dahulu, tetapi
dengan lebih bermatematik lagi (suatu yang dikehendaki dalam sains) di samping
memberi beberapa implikasi baru yang merubah pemikiran ahli sains terhadap
masa, ruang, sukatan (panjang, jisim dan tenaga misalnya), keserentakan dan
sebab-musabab yang bertentangan dengan fahaman lama.
TKnE Teori Kenisbian/Kerelatifan/Relativiti/Relativitas Einstein TKnE
menjadi terkenal kerana teori ini mampu menjelaskan secara kualitatif tabii
pergerakan planet Utarid (Mercury daripada bahasa Latin, Merkurius dan bahasa
Jerman, Merkur) yang jelas terbukti menerusi cerapan berabad-abad bahawa
orbitnya bukan elips, dan ini tidak dapat dijelaskan menerusi teori Newton itu.
Ini adalah kerana mengikut teori TKnE ini, orbit setiap planet mengelilingi
matahari tidak lagi berada atas satu satah, tetapi meliuk mengelilingi pusat jisim
Matahari seperti yang berlaku dengan planet Utarid itu sehingga planet itu
tidaklah pernah melalui tempat yang sama lebih daripada sekali. Orbit sebegini
biasanya pula diambil oleh “orang awam” bagi mewakili pergerakan elektron
mengelilingi sebiji nukleus, suatu langkah pemakaian ilmu yang tidak betul.
Malah, inilah satu daripada kelemahan TKnE, iaitu tidak mampu menjelaskan
tabii dunia atom. Ini dianggap sebagai kelemahan TKnE, selain kelemahan lain
yang ditonjolkan Whitehead dan Iqbal yang menunjukkan benarnya “bahasa
jiwa ilmu” yang dibincangkan secara berasingan seterusnya ini.